Video :
Dua lelaki yang disyaki memukul seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Semenyih, Selangor awal pagi semalam telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata tangkapan pertama dilakukan pada jam 11.30 pagi tadi di Seremban, Negeri Sembilan manakala suspek kedua ditangkap sejam kemudian di Sepang, Selangor.
Telefon bimbit milik kedua-dua suspek dirampas.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek usia 31 dan 32 tahun turut mempunyai rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, mangsa 18 tahun yang juga pekerja kedai serbaneka terbabit didatangi suspek tidak dikenali yang ingin membeli minuman.
Bagaimanapun salah seorang suspek telah mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran.
Mangsa kemudian menegur suspek dan berlaku pertengkaran mulut sebelum suspek kembali ke dalam premis dan menumbuk muka mangsa.
Suspek juga dilaporkan sempat membuat swafoto bersama mangsa selepas mencederakannya sebelum beredar meninggalkan premis.
Kejadian berkenaan kemudian tular dalam media sosial sejak semalam.
No comments:
Post a Comment