KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan sebelum ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.
“Kerajaan akan berpegang kepada strategi kami dan terbuka untuk melaksanakan apa jua cara bagi mencapai kemampanan fiskal melalui sumber yang lebih luas.
"Oleh itu, sama ada ia akan menjadi GST, Cukai Keuntungan Modal atau sebarang bentuk cukai langsung dan tidak langsung, kami hanya akan memutuskan berdasarkan kes ke kes atau tahun ke tahun.
"Sebarang pengumuman berkenaan pengenalan cukai akan dibuat menteri kewangan menerusi pembentangan bajet," katanya pada sidang akhbar di lobi parlimen pada Isnin.
Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia belum bersedia melaksanakan semula GST kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah.